Negeri

PM Anwar umum bayaran khas untuk Sabah, Sarawak naik sekali ganda

Kadar pemberian khas interim untuk Sabah dan Sarawak dinaikkan daripada RM300 juta kepada RM600 juta mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kota Kinabalu pada Khamis.

“Tahun lepas telah diumumkan sebanyak RM300 juta untuk setiap negeri. Tadi (dalam mesyuarat MTPMA63) Perdana Menteri memutuskan untuk menaikkan kadar interim ini daripada RM300 juta kepada RM600 juta untuk setiap negeri (Sabah dan Sarawak). Maknanya sekali ganda kenaikan.

“Walaupun kadar itu disemak setiap lima tahun tetapi Perdana Menteri telah memutuskan untuk menaikkan pemberian khas berkenaan lebih awal,” kata Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 itu.

Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2024 itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bersempena lawatan rasmi Anwar ke negeri itu.

Turut hadir adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI salur hampir RM1 bilion wang ihsan kepada Kelantan, Terengganu

Sementara itu Kerajaan Sabah menyifatkan peningkatan bayaran khas diumumkan perdana menteri sebagai bukti kesungguhan kerajaan Persekutuan memenuhi tanggungjawabnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pertambahan RM300 juta itu juga satu pengiktirafan terhadap keperluan pembangunan di kedua-dua negeri berkenaan.

“Ini adalah pengiktirafan terhadap keperluan pembangunan Sabah dan kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam memenuhi tanggungjawabnya kepada negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Related Articles

Back to top button