Hentikan kartel import benih dan baja, tegas Perdana Menteri
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan amalan kartel import benih dan baja dalam sektor pertanian negara mesti dan wajib dihentikan.
Jelasnya, langkah itu yang memerlukan tekad politik adalah penting dalam memastikan keputusan yang dibuat kelak berdasarkan fakta, serta mengambil kira apa yang terbaik untuk petani, nelayan dan pekebun kecil di negara ini.
“Kalau nak jamin produktiviti maka seluruh ekosistem itu harus teratur, sama ada melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) khususnya atau kementerian lain. Kemudian benih dan baja tidak boleh secara kartel dan monopoli seperti dahulu.
“Sebab itu kita perlu seorang menteri dan KSU (Ketua Setiausaha) yang tegas dan keras menyatakan bahawa amalan kartel lama import baja mesti dan wajib dihentikan,” katanya.
Beliau berkata begitu melalui ucapan perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Sabtu.
BACA LAGI: KBS pantau setiap tender, benteras kartel penipuaan perolehan kerajaan
Sementara itu Anwar yang juga Menteri Kewangan berharap agar setiap subsidi yang diberikan kerajaan kepada petani, nelayan dan pekebun kecil, berupaya memberikan pulangan yang baik kepada mereka.
“Ini sebenarnya tugas yang diamanahkan kepada KPKM dan saya lihat walaupun bergerak agak bertahap tahun yang pertama, tapi masuk ke tahun kedua di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamad Sabu saya tengok tahap kelajuan itu meyakinkan,” tambahnya.
Beliau turut berharap sektor makanan akan terus diberi tumpuan memandangkan ia antara tonggak utama dalam negara.