Semasa

KPKM beri tumpuan perkasa sektor padi, ruminan – Mat Sabu

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2024) menjadi platform terbaik untuk memperkukuh kerjasama antara pihak Kerajaan, sektor swasta, akademik dan NGO.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pameran itu yang bakal berlangsung sehingga 22 September ini akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap sektor padi dan beras serta sektor ruminan pedaging.

Dipetik temubual bersama AWANI Pagi sempena MAHA 2024, Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan menerima semua pandangan terkait sektor itu supaya bekalan dalam negara dapat dipenuhi.

“Isu keterjaminan dan kecukupan beras ini mesti ditumpukan, saya tidak mahu menyalahkan pemerintah sebelum ini, kita perlu move forward.

“Menuju ke hadapan KPKM telah mengenal pasti dua negeri lagi yang boleh membantu dalam mengembangkan lagi sektor padi dan beras negara.

“Di antara tempat yang kita nampak untuk kita jadikan jelapang padi kedua adalah Sabah dan Sarawak, begitu juga dengan sektor ruminan iaitu lembu, kambing dan sebagainya yang mana kita di bawah 20 peratus kecukupannya dan kita masih perlu mengimport sebanyak 80 peratus,” jelasnya.

MAHA 2024 dianjurkan dengan bajet RM25 juta iaitu terbesar dalam sejarahnya, sekaligus mencerminkan komitmen teguh Kerajaan dalam pembangunan agromakanan negara.

Mohamad dipetik laporan media sebelum ini memaklumkan, bagi tempoh suku pertama 2024, sektor agromakanan telah sebanyak 10.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

BACA LAGI: Takaful Tanaman Padi dilancarkan sebagai usaha kerajaan lindungi pesawah

Sumbangan direkodkan melalui tiga sub-sektor meliputi 3.1 peratus sektor pertanian, 2.2 peratus sektor pembuatan, dan 5.6 peratus sektor perkhidmatan itu membuktikan bahawa strategi pengurusan bekalan makanan mula membuahkan hasil.

“Namun ia perlu diperkukuhkan demi kestabilan sistem makanan negara,” menurut Mohamad.

Related Articles

Back to top button