Sejati MADANI: Fahmi seru pemimpin komuniti segera mohon
Kerajaan menyarankan Ketua Kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung dan rukun tetangga segera memohon dana Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, permohonan dana yang bertujuan mengupayakan komuniti dengan menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat itu masih dibuka hingga 30 September ini.
“Kerajaan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pusat menyediakan peruntukan sehingga RM100,000.
“Saya sarankan kepada semua yang masih belum memohon dana SejaTi MADANI untuk segera berbuat demikian, dengan mendapatkan maklumat melalui laman web SejaTi MADANI,” katanya pada sidang media di Sipitang, Sabah pada Ahad
Fahmi berkata, terdapat lima sektor yang menjadi tumpuan dalam program SejaTi Madani, iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti, serta aktiviti hijau dan kitar semula.
Sementara itu beliau turut menyeru masyarakat setempat memanfaatkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
BACA LAGI: Perak lakar sejarah, negeri pertama terima dana Sejati MADANI
Pusat sehenti itu menyediakan pelbagai maklumat serta kemahiran yang dapat membantu meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Semasa lawatan di NADI Mesapol tadi saya lihat ada yang mengusahakan kek lapis Sarawak, sampai ke Sipitang ada kek ini. Saya ke Kundasang, ada yang mengusahakan sambal tuhau, sedap dan NADI boleh membantu membangunkan usahawan tempatan dengan memasarkan produk melalui Internet,” katanya.