Semasa

Iklim dunia berubah corak, urus banjir makin mencabar – Akmal Nasir

Cabaran pengurusan banjir menjadi semakin mencabar susulan perubahan iklim dunia merubah corak dan magnitud musim tengkujuh

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, berikutan itu Petra memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek infrastruktur seperti projek tebatan banjir dan langkah mitigasi seperti pengagihan pam untuk mengeluarkan air dari kawasan banjir dengan segera.

“Dengan kesan perubahan iklim… ia (musim tengkujuh) berubah dari segi jadual kejadian, malah dari segi magnitud ataupun betapa ekstrem seperti hujan lebat yang di luar jangkaan.

“Bagi Petra, tumpuan adalah lembangan sungai yang besar, (manakala saliran) dalam bandar lebih tertumpu kepada kerajaan tempatan dan mungkin agensi di bawah Jabatan Kerja Raya serta kementerian yang lain, jadi koordinasi itu perlu diselaraskan,” katanya kepada media.

Akmal sebelumnya hadir ke program Charity Walk: Menyambut Hari Malaysia di Johor Bahru pada Isnin.

Kira-kira 1,000 orang termasuk orang kurang upaya (OKU) menyertai program jalan amal sempena Hari Malaysia itu yang dianjurkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru.

Untuk rekod, baru-baru ini Petra telah menyerahkan tiga projek siap membabitkan tebatan banjir dan projek pemuliharaan muara sungai kepada kerajaan Terengganu.

Projek tebatan banjir di Guntung Luar, Setiu dan Gong Kiat, Kuala Terengganu yang masing-masing bernilai RM3.22 juta dan RM5.8 juta itu membolehkan kira-kira 3,500 penduduk di sekitar kawasan berkenaan terlindung daripada musibah banjir.

BACA LAGI: Persekutuan serah tiga projek bernilai RM141 juta kepada negeri Terengganu

Minggu lalu, Petra turut menyerahkan tiga projek siap kepada kerajaan Pahang membabitkan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembah Bertam-Sungai Ringlet dan menaik taraf Sungai Belat, Kuantan, Pahang membabitkan peruntukan lebih RM155 juta yang dijangka akan meminimumkan kesan banjir kepada kira-kira 38,000 penduduk

Beberapa projek infrastruktur berkaitan pengurusan banjir juga dijangka siap dan akan diserahkan kepada kerajaan Johor tahun ini.

Related Articles

Back to top button