Semasa

Isu berkait peperiksaan Tahun 6, Tingkatan 3 ke Kabinet – Menteri Pendidikan

Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang membawa perkara berkaitan dasar pendidikan negara yang tidak melaksanakan peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3 ke mesyuarat Kabinet.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, pihaknya melihat secara positif dan bersetuju dengan pandanganTimbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa dasar tersebut perlu dirombak.

“KPM mungkin akan membawanya ke peringkat Jemaah Menteri untuk dibincangkan dan diputuskan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan rasmi ke Sekolah Integriti Kota Kinabalu pada Ahad.

Ahmad Zahid pada Sabtu mencadangkan semakan kepada dasar peperiksaan tahun enam dan tingkatan tiga ekoran wujudnya masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M).

Menurutnya, terdapat kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dikesan mengalami keciciran ekoran masalah kemahiran itu.

Sementara itu Fadhlina berkata, dalam isu keciciran, kementerian sudah menanganinya dan bakal diteruskan dengan beberapa program signifikan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Selain itu KPM juga berusaha melaksana penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara dan ia sedang digerakkan ketika ini.

BACA LAGI: KPM usaha tingkat infrastruktur dan infostruktur di Sekolah, selari dasar pendidikan digital

“Kita sudah umumkan enam agenda reformasi pendidikan negara termasuk Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); kejuruteraan dan matematik (STEM); pendidikan digital; pemerkasaan kurikulum sains, teknologi, peluasan dan pengukuhan prasekolah; serta pelan pendidikan dan kurikulum prasekolah serta memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris.

“Kita juga sudah melihat persiapan dalam aspek Pelan Pembangunan Pendidikan negara yang baharu berikutan pelan sedia ada akan berakhir pada 2025,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button