Menteri arah siasat insiden kematian pakar patologi angkara buli
Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan bertoleransi sama sekali terhadap sebarang perbuatan buli, tegas Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Justeru beliau mengarahkan siasatan lanjut dilakukan susulan kematian seorang pakar patologi Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr. Tay Tien Yaa, yang dikaitkan dengan insiden bunuh diri akibat dibuli di tempat kerja.
“Semua kakitangan KKM (Kementerian Kesihatan) layak mempunyai persekitaran kerja yang selamat dan adil.
“Kematian Dr Tay Tien Yaa mesti disusuli dengan siasatan lanjut…saya tiada toleransi terhadap insiden buli,” katanya menerusi hantaran pada platform X.
Tular pada Ahad, satu muatnaik di Facebook mengenai seorang doktor yang ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu, Sabah, pada 29 Ogos lalu.
Adik mendiang mendakwa kakaknya telah menjadi mangsa buli ketua jabatan yang disifatkan sebagai ‘zalim’ kerana telah menyalahgunakan kuasa untuk menindas pekerja bawahan.
BACA LAGI: KKM peruntukkan RM137 juta setahun, selenggara 201 klinik kesihatan
“Kakak telah menghadapi tekanan berat dan beban kerja yang luar dari bidang kerjaya di hospital,” dakwa individu dikenali sebagai YS Tay itu.
Sementara itu melalui hantaran sama Dr Dzulkefly menegaskan, beliau tahu budaya kerja toksik itu masih wujud dan pelakunya perlu menghentikan perbuatan tersebut.