Politik

Apa niat sebenar pembangkang tolak draf MoU?

Tindakan pembangkang yang menolak mentah-mentah draf memorandum persefahaman (MoU) disifatkan sengaja ‘hendak cari hal’ dengan kerajaan perpaduan.

Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming berkata menegaskan, syarat-syarat yang ditawarkan oleh kerajaan perpaduan sekiranya diteliti adalah amat munasabah dan sebenarnya tiada alasan untuk draf itu ditolak.

“Draf disediakan telah dibincangkan dan diteliti secara profesional sebelum ditawarkan kepada pembangkang.

“Misalnya, kita minta sekiranya ingin dapat peruntukan ahli Parlimen pembangkang yang kaya raya itu diminta isytiharkan harta. Tapi mereka tak mahu, mereka takut sebab itu mereka berdalih.

“Orang Melayu kata hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Kita minta mereka isytihar harta, senang sahaja. Isytiharkan harta, kami beri peruntukan tapi, mereka degil, tak nak (isytihar harta),” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Kota Kinabalu.

Pada Ahad, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan pembangkang menolak (MoU) berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Keputusan tersebut dibuat berasaskan empat sebab utama iaitu ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

Susulan itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof tampil mendedahkan kandungan draf kepada umum supaya ia boleh dinilai sendiri rakyat.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang Amanah (Kanun), Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi menyifatkan tindakan pembangkang menolak MoU itu kerana ingin terus menggunakan isu kaum, agama, dan raja (3R).

BACA LAGI: TPM dedah kandungan draf MoU peruntukan pembangkang, mahu rakyat nilai sendiri

Beliau menegaskan MoU itu ‘penegasan semula’ konsep sama rata di bawah Perkara 8 Perlembagaan yang tidak boleh mengatasi peruntukan Perlembagaan yang menjamin kedudukan istimewa Bumiputra di bawah Perkara 152 dan 153 dan Islam sebagai agama bagi persekutuan di bawah Perkara 3(1).

“Kanun melihat helah PN menolak draf MoU ini satu manifestasi PN yang ingin terus menggunakan isu 3R untuk merosakkan kestabilan politik dan meneruskan usaha ‘tebuk atap’ serta ingin terus menggugat kemajuan ekonomi di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang kini menjadi tumpuan pemimpin dunia dengan kemasukan pelaburan ratusan bilion ringgit,” katanya dalam kenyataan.

Related Articles

Back to top button