Semasa

GISBH: Kabinet bincang isu kebajikan kanak-kanak, remaja diselamatkan

Mesyuarat Kabinet telah membincangkan isu kebajikan kepada kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu kebajikan, pendidikan dan masa depan kanak-kanak terbabit menjadi keutamaan kerajaan.

Justeru jelasnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memaklumkan akan mewujudkan tempat khusus untuk kanak-kanak dan remaja berkenaan.

“Ini agar mereka (kanak-kanak dan remaja) mendapat kepedulian daripada pihak JKM,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Laman Usahawan Desa@MAHA 2024 di Serdang pada Rabu.

Minggu lalu pihak berkuasa polis melancarkan Op Global dan menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun dari 18 rumah kebajikan dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam satu sidang media berkata, berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki  GISBH melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain penganiayaan dan di eksploitasi terhadap kanak-kanak dan remaja terbabit.

Susulan itu juga seramai 171 individu ditahan bagi membantu siasatan.

BACA LAGI: PM Anwar arah segerakan siasatan terhadap GISBH

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan JKM untuk melihat peluang untuk remaja terbabit menyertai program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Bagaimanapun perkara penting ketika ini adalah memberikan pendidikan agama serta akidah kepada mereka yang selama ini tinggal di rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings.

Related Articles

Back to top button