Sukan

PM Anwar sokong pembangunan e-sukan, mahu lihat lebih banyak pasukan cipta kejayaan

Kerajaan MADANI menyokong penuh pembangunan industri e-sukan yang sedang berkembang pesat di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata begitu melalui satu hantaran di laman Facebooknya susulan kunjungan hormat daripada pasukan E-Sukan Selangor Red Giants di pejabatnya pada Jumaat.

“Saya zahirkan ucapan tahniah atas usaha gigih pasukan hingga membuahkan kejayaan yang menjadi kebanggaan buat pasukan dan negeri Selangor, serta melambangkan potensi anak muda Malaysia di pentas e-sukan antarabangsa,” katanya.

Red Giants, telah mencipta sejarah apabila menjuarai Kejohanan Mid-Season Cup Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) 2024 di Esports World Cup yang berlangsung di Riyadh pada Julai lalu.

BACA LAGI: Selangor Red Giants cipta sejarah, jadi juara Mobile Legend Bang Bang 2024

Kejayaan diraih pada aksi Grand Final yang berlangsung di Amazon Arena Riyadh, Arab Saudi itu sekaligus menamatkan kemarau tujuh tahun Malaysia dalam acara itu.

Sementara itu Anwar berkata, kerajaan menantikan kemunculan lebih banyak pasukan e-sukan yang mampu bersaing hebat serta meraih pengiktirafan dunia.

Justeru beliau berharap Malaysia dan Selangor Red Giants dapat melakar sejarah sekali lagi di Kejohanan Dunia MLBB M6 yang bakal berlangsung di Axiata Arena pada akhir tahun ini

Related Articles

Back to top button