Semasa

Kerajaan salur bantuan untuk sekolah terjejas banjir di Kedah – PM Anwar

Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbang kelonggaran untuk sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) diberikan kelonggaran cuti tambahan hingga keadaan banjir benar-benar pulih.

Ia susulan 37 buah sekolah termasuk maahad tahfiz terlibat banjir di Kedah, masih dijadikan PPS walaupun sesi persekolah bermula hari ini setelah cuti pertengahan penggal.

“Sesi sekolah serah kepada Menteri Pendidikan, kalau terbeban dengan masalah penempatan tentunya Menteri Pendidikan akan beri kenyataan supaya memberikan sedikit kelonggaran, cuti tambahan untuk pelajar,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah di Alor Setar yang dijadikan PPS pada Sabtu.

Sementara itu Perdana Menteri meminta pelajar tingkatan lima yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal menjalani sesi persekolahan seperti biasa.

Manakala guru-guru mesti menetapkan kerja rumah untuk pelajar untuk disiapkan sebelum dibuka semula sesi persekolahan nanti

“Saya nak tekankan, ia bukan cuti tapi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di mana kalau ada saluran saya tidak mahu masa belajar itu dijadikan cuti,” tambahnya.

Mengulas mengenai sekolah terjejas akibat banjir, Perdana Menteri berkata, peruntukan berasingan akan disalurkan KPM kepada sekolah terbabit termasuk yang bukan di bawah kelolaan kementerian.

“Sekolah sama ada bawah KPM atau tidak, termasuk di bawah kerajaan negeri saya sudah bincang dengan Menteri Pendidikan supaya kita salurkan peruntukan supaya sedikit sebanyak dapat tampung kerosakan dialami,” katanya.

Setakat petang semalam, situasi banjir di Kedah dilapor bertambah buruk.

Berdasarkan laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat seramai 8,108 mangsa daripada 2,585 keluarga telah dipindahkan ke 41 PPS yang dibuka.

BACA LAGI: PM Anwar sampaikan sumbangan peribadi kepada 46 mangsa banjir di Perlis

Terdahulu dalam lawatannya, Anwar mengumumkan peruntukan RM13 juta sebagai bantuan banjir di Kedah termasuk sumbangan kepada mangsa, pembersihan kawasan terjejas dan pembaikan infrastruktur.

Katanya, peruntukan RM10 juta itu adalah sumbangan kepada mangsa terjejas dan kerja-kerja pembersihan di seluruh Kedah, manakala RM3 juta khas untuk pembaikan infrastruktur pasca banjir di daerah Kota Setar dan akan diselaras Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara), ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Related Articles

Back to top button