Semasa

PM Anwar mahu Kursi Husin Ali diwujudkan di Universiti Malaya

Kerajaan mencadangkan agar Kursi Husin Ali diwujudkan di Universiti Malaya (UM) sebagai mengenang jasa dan sumbangan serta mengkaji secara mendalam pemikiran Profesor Dr Syed Husin Ali.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah meminta Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir supaya segera melaksanakan perkara itu dengan persetujuan keluarga tokoh berkenaan.

“Saya sudah sampaikan (cadangan) kepada Menteri Pendidikan Tinggi untuk segera mewujudkan dengan persetujuan keluarga Kursi Husin Ali di mana-mana fakulti di UM,” katanya pada Majlis Memperingati Profesor Dr Syed Husin Ali di UM pada Sabtu.

Syed Husin merupakan bekas profesor di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya pada 1985 hingga 1990 dan pernah ditahan di bawah ISA selama enam tahun ketika era Mahathir Mohamad.

Merupakan antara tokoh senior dalam politik tanah air, Syed Husin memulakan perjalanan politiknya sebagai ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 1960 dan menjawat jawatan presiden parti itu pada 1990 hingga 2001.

Setelah PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (keADILan) pada Ogos 2003 bagi membentuk Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden dan Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN sebelum meninggal dunia 29 Jun lepas akibat kanser pada usia 87 tahun.

Pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara, Allahyarham telah menghasilkan pelbagai buku antaranya Social Stratification in Kampung Bagan (1966), Malay Peasant Society and Leadership (1975), Kemiskinan dan Kelaparan Tanah di Kelantan (1978), The Malays, Their Problems and Future (1981), Poverty and Landlessness in Kelantan, Malaysia (1983), Ethnicity dan Class and Development, Malaysia (1984).

“Saya kebetulan dapat hadam banyak (penulisan) beliau dalam penjara. Hampir semua karya berkaitan feudalisme, kemerdekaan rakyat, itu semua dikirim dan diseludup ke kamar saya di (Penjara) Sungai Buloh dulu,” jelas Anwar.

BACA LAGI: Kementerian Pendidikan Tinggi mudahkan pendaftaran universiti pelajar B40

Sementara itu Anwar berharap kewujudan kursi itu bukan sekadar untuk membicarakan susuk Husin tetapi imbauan mengenai curahan pemikiran beliau dalam banyak tajuk antaranya mengenai kemiskinan dan sejarah rakyat yang sedikit sebanyak menyimpang dari aliran pemikiran semasa.

“…beliau bukan seorang sarjana yang mempunyai pengkhususan dalam bidang tertentu tetapi mempunyai ruang pemikiran yang sangat luas.

“Jadi Kursi Husin itu gagal kalau kita juruskan satu aspek yang terbatas (ia) sebenarnya membicarakan soal rakyat, soal Malaysia, soal kemanusiaan dan soal perjuangan,” tambahnya.

Dalam majlis itu, Anwar turut meluluskan peruntukan RM200,000 kepada Persatuan Sains Sosial UM, bagi keperluan melakukan kajian khusus untuk menilai karya-karya penulisan Husin Ali.

Related Articles

Back to top button