Semasa

PETRA komited perkasa tadbir urus air negara

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited untuk melakukan transformasi sektor air kata Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Berucap merasmikan Hari Inovasi dan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia di Johor Bharu pada Ahad, Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kementerian itu memainkan peranan penting dalam memperkasakan tadbir urus air pada peringkat Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan ke arah pengurusan bersepadu bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara pada masa depan.

Justeru usaha akan terus dilaksana termasuk dengan mengadaptasikan teknologi pintar dan pendigitalan bagi memudahkan penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan air negara.

“Transformasi sektor air ke arah pengurusan lebih cekap memerlukan sistem maklumat berintegrasi bagi memudahkan kerjasama dengan kerajaan negeri. Hal ini penting untuk melindungi keselamatan air dan kemampanan ekosistem demi masa depan yang baik,” katanya.

Hari Inovasi dan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah JPS Malaysia yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menyaksikan hampir 400 pegawai agensi itu dari seluruh negara terlibat membincangkan kesiapsiagaan menghadapi cabaran global.

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada 25 pemenang inovasi sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang inovatif.

BACA LAGI: 40 projek bawah PETRA bernilai RM6.0 bilion telah diluluskan di Pahang

Dalam pada itu, ketika sesi soal jawab eksklusif Fadillah berkata sektor perniagaan perlu memanfaatkan dasar berkecuali negara melibatkan geopolitik antarabangsa.

Sebagai sebuah negara perdagangan antarabangsa, Malaysia jelasnya perlu mengambil peluang menjalinkan kerjasama ekonomi dengan pelbagai blok negara termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Rusia, negara Eropah dan lain-lain.

Related Articles

Back to top button