Semasa

Majlis Raja-Raja akan putuskan isu berkaitan fahaman doktrin GISBH

Keputusan berkaitan doktrin fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) hanya akan diketahui selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada Oktober ini.

Bagaimanapun menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar isu GISBH akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang bermula hari ini hingga Khamis.

“Jawatankuasa ini akan memutuskan tentang GISBH.

“Keputusan perbincangan Jawatankuasa Muzakarah MKI itu akan dibentangkan kepada Pengerusi MKI Sultan Perak Sultan Nazrin Shah serta Timbalan Pengerusi yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dibawa ke Persidangan Majlis Raja-Raja.

“Kita sudah ambil tindakan cepat untuk bawa kertas itu dalam perbincangan esok,” katanya kepada pemberita selepas prapelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 di Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam satu sidang media pada Isnin berkata, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati ahli GISBH masih mengamalkan Tarekat Aurad Muhammadiyah, iaitu amalan ahli kumpulan Al-Arqam yang disahkan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar pada 1994.

BACA LAGI: Jawatankuasa Muzakarah MKI bincang doktrin fahaman GISBH

Ia jelasnya susulan penemuan risalah dan buku-buku di premis milik GISBH menerusi Op Global yang dilancarkan bulan ini.

Justeru katanya, siasatan polis terhadap kumpulan itu kini menjurus kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 dan akan menggunakan seluruh peruntukan serta undang-undang sedia ada termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Related Articles

Back to top button