Semasa

Martabat syiar Islam diperkukuh bawah Kerajaan MADANI melalui pendidikan

Kerajaan MADANI benar-benar bersungguh mahu memartabatkan pembangunan syiar Islam di negara ini melalui pendidikan.

Usaha itu terbukti apabila pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkatkan peruntukan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam sebanyak RM1.9 bilion dalam Belanjawan 2024 berbanding RM1.5 bilion pada tahun sebelumnya, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Selain itu tambahnya, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut komited berusaha kearah itu termasuk dengan membantu golongan memerlukan melalui skim bantuan pendidikan dari sekolah rendah hingga peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

“Sehingga Ogos lalu sebanyak RM68 juta agihan dana zakat disalurkan kepada anak-anak asnaf bagi tujuan itu.

“Antaranya bantuan am persekolahan kepada hampir 32,000 pelajar membabitkan peruntukan RM22 juta, bantuan pelajar Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP RM16.8 juta, bantuan am IPT RM15 juta dan lain-lain,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar dan Penyampaian Insentif Galakan Hafazan 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan pada Isnin.

Selain itu tambahnya, pada tahun ini MAIWP bersetuju memberikan insentif kepada 698 pelajar cemerlang akademik sebanyak RM3.1 juta selain sumbangan komputer riba dan insentif tunai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).


BACA LAGI: PM Anwar mahu pelajar siapkan diri dengan ajaran Islam sebenar

MAIWP turut menyampaikan Insentif Galakan Hafaz Al-Quran kepada 529 peserta dengan jumlah keseluruhan bantuan hampir RM2 juta.

Sementara itu, Mohd Na’im menyatakan harapan agar Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi akan terus memberikan peruntukan tambahan terhadap aspek pentadbiran dan pendidikan Islam agar lebih banyak penumpuan ummah khususnya golongan asnaf dapat dibangunkan.

Related Articles

Back to top button