Semasa

Belanjawan 2025 dijanjikan lebih gah dan saksama

Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini, disasarkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan pembangunan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meskipun mempunyai jadual yang padat, Perdana Menteri sempat meluangkan masa bagi meninjau persiapan Belanjawan MADANI 2025 oleh kakitangan Kementerian Kewangan (MOF).

Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu hantaran di laman Facebooknya malam tadi berkata, belanjawan itu yang akan dibentangkan ke Dewan Rakyat pada Oktober ini dijanjikan lebih gah serta saksama.

“Insya-Allah, dengan pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini, Malaysia akan mara satu langkah lagi menuju wawasan kerangka Ekonomi MADANI yang gah lagi saksama,” katanya melalui hantaran itu.

Belanjawan 2025 mengetengahkan tema Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera akan dipacu oleh pendekatan Ekonomi Madani.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, perencanaan belanjawan berkenaan tidak akan lari daripada hala tuju ekonomi negara seperti yang diumumkan sebelum ini, termasuk Pelan Perindustrian Baharu Negara (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

BACA LAGI: Belanjawan 2025 fokus selesai isu harga barang, kos sara hidup

Sementara itu Anwar melalui hantaran tersebut merakamkan penghargaannya kepada kakitangan yang telah bertungkus-lumus menyiapkan Belanjawan tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga kerajaan yang bertungkus-lumus menyiapkan Belanjawan yang terangkum untuk meningkatkan darjat rakyat dan pembangunan negara,” katanya.

Related Articles

Back to top button