PM Anwar minta syarikat GLC giat anjur Forum Ilmuan Malaysia Madani
Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta agar lebih giat menganjurkan Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) pada setiap bulan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Forum Ilmuan Malaysia Madani anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di ibu negara malam tadi berkata, ia boleh dijadikan pentas untuk sarjana pemikir negara melontarkan idea mereka untuk digunakan oleh kerajaan.
“Kalau masa mengizinkan, saya harap adakan forum ilmuan secara bulanan. Terima kasih kerana TNB yang anjurkan, bulan hadapan Petronas dan berikutnya (GLC), itulah cara kerajaan nak jimatkan duit,” katanya.
Turut hadir pada forum itu adalah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Steven Sim.
FIM merupakan satu inisiatif diilhamkan Anwar sebagai satu bentuk wacana intelektual yang menjadi platform bagi para ilmuan dan tokoh daripada segenap latar belakang masyarakat untuk berbincang mengenai isu, cabaran dan tindakan dalam menangani masalah masyarakat semasa.
Dianjurkan secara bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan GLC terpilih, ia diharap memberi input dan pandangan yang bermakna kepada kepimpinan negara dalam merangka dasar atau program pembangunan negara.
Sementara itu menurut Anwar, idea-idea merentas pemikiran konvensional dan mencabar perlu digerakkan bagi merealisasikan konsep Malaysia Madani.
BACA LAGI: Martabat syiar Islam diperkukuh bawah Kerajaan MADANI melalui pendidikan
“Saya bincang bersama Zambry untuk fikir hala tuju kita. Saya tidak pernah mewakili pandangan bahawa pimpinan negara mempunyai semua jawapan.
“Kita harus juga dicabar oleh sarjana, apakah dasar kita tepat atau kita masih dalam landasan atau pun kemungkinan kita cedok cengakaman baharu, idea baharu untuk memperbaiki,” katanya lagi.