Semasa

Kerajaan MADANI konsisten lawan rasuah, bersih imej negara

Kerajaan MADANI kekal tegas dan konsisten dalam membenteras rasuah untuk memastikan negara mencapai kecekapan dan ketelusan yang lebih baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai pemimpin negara, beliau mahu gejala itu dihapuskan sekali gus membersihkan imej negara yang kadangkala dikaitkan dengan tahap rasuah yang tinggi dan tadbir urus lemah.

“Kerajaan MADANI berperang sekarang dengan rasuah, penyelewengan. Orang membicarakan mengenai Islam, tapi (mereka) merompak hasil kekayaan negara kita hingga berbilion ringgit.

“Saya tidak mahu hal ini berlaku, perlu ada pengajaran. Mustahil kita semak setiap kontrak (tender), jadi akan ada ketirisan dana, negara mana mampu maju jika ada ketirisan ratusan juta, berbilion ringgit,” katanya dipetik laporan media.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Bukit Jalil pada Khamis.

Kompleks baharu SMISTA bernilai RM70 juta dijangka siap pada 2028 boleh memuatkan sehingga 576 pelajar, 130 guru berbanding kapasiti sedia ada iaitu hanya mampu menampung 363 pelajar dan 86 guru termasuk pengurusan sekolah.

Pada ucapannya Anwar turut menyeru seluruh jentera kerajaan dan swasta dibersihkan daripada gejala rasuah demi masa depan negara.

Sementara, kestabilan politik yang terhasil daripada majoriti dua pertiga di Parlimen pula jelasnya membolehkan kerajaan memastikan Malaysia memiliki tadbir urus yang lebih baik.

BACA LAGI: Kerajaan jadikan kursus integriti dan antirasuah sebagai subjek wajib untuk pelajar TVET

Sebagai rekod, Transparency International pada Januari lalu mendedahkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia meningkat tiga mata kepada 50 pada 2023 daripada 47 dalam 2022.

Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, antara perkembangan positif yang berlaku selepas Kerajaan Perpaduan menjadi kerajaan ialah arahan Perdana Menteri supaya meningkatkan tata kelola kerajaan, siasatan semasa terhadap kekayaan yang tidak diisytiharkan bekas ahli politik dan menetapkan sasaran CPI negara dalam tempoh 10 tahun – menduduki tangga 25 teratas dalam ranking global.

Related Articles

Back to top button