Semasa

Kerajaan pastikan siasatan terhadap GISBH dijalankan dengan telus

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan memastikan siasatan terkait kegiatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dijalankan dengan telus.

Melalui satu kenyataan pada Jumaat beliau berkata, kerajaan juga akan memastikan 542 kanak-kanak di bawah 18 tahun yang ditempatkan di Penempatan Perlindungan Sementara diberikan akses kebajikan, kaunseling, kerohanian dan pendidikan sehingga selesai siasatan oleh PDRM, Jabatan Agama Islam serta Majlis Agama Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mohon kepada ahli dan pendukung (GISBH) di dalam dan luar negara yang bukan di bawah siasatan untuk menghubungi pihak berkuasa bagi meluruskan segala permasalahan yang dihadapi,” katanya.

Pada 11 September lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan serbuan Op Global terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH susulan dakwaan terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan beberapa individu dikaitkan dengan GISBH.

BACA LAGI: Majlis Raja-Raja akan putuskan isu berkaitan fahaman doktrin GISBH

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar, berkata status fahaman disyaki sesat cuba didoktrinkan GISBH sudah dibincangkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI).

Keputusan berkaitan doktrin fahaman kumpulan itu bakal diketahui selepas mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja yang dijadual bersidang bulan depan.

Related Articles

Back to top button