Politik

Formula perpaduan diterima rakyat, wajar dikekalkan untuk PRU16 – Saifuddin

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu formula perpaduan antara gabungan itu dengan Barisan Nasional dipertahan.

Merujuk keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota Johor pada Sabtu lalu Saifuddin berkata, formula itu berhasil memenangkan calon blok kerajaan Perpaduan sekaligus membuktikan penerimaan rakyat terhadap gabungan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambahnya, walaupun pelbagai sentimen dimainkan pembangkang, ternyata rakyat tidak terpengaruh dengan politik sempit dibawa pembangkang.

“Kemenangan Syed Hussein Syed Abdullah juga membuktikan rakyat menolak politik sempit, politik perkauman, politik agama yang dibawa pembangkang untuk mencetuskan kegusaran rakyat,” katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.

Syed Hussien mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar dalam pilihan raya berkenaan dengan lebih 20,000 undi.

Jumlah majoriti undi itu meningkat empat kali ganda berbanding dicatat parti itu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dua tahun lalu hasil kesepaduan antara jentera perpaduan.

BACA LAGI: PRK Mahkota jadi medan rakyat terjemah sokongan kepada pentadbiran Anwar

“Pujian harus diberikan kepada jentera PH yang saya lihat mereka bersungguh-sungguh bekerja bersama dengan jentera BN untuk memenangkan calon BN daripada UMNO.

“Tahniah juga diucapkan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas kejayaan luar biasa ini dan kepada Syed Hussein selamat berkhidmat, jalankan amanah dengan penuh tanggungjawab,” tambah Saifuddin.

Related Articles

Back to top button