Semasa

Gandingan Anwar Ibrahim – Abang Johari ‘Segulai Sejalai’

Kejayaan dicapai Negeri Sarawak sehingga hari ini tidak dapat berdiri sendiri tanpa kestabilan pentadbiran Kerajaan Pusat.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dalam konteks hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membawa Malaysia melakar landskap politik baharu.

Ia sekali gus, telah mewujudkan kestabilan dan meningkatkan keupayaan kerajaan dalam membawa lebih banyak kebaikan kepada rakyat dan negara.

“Tidak salah rasanya jika saya katakan gandingan Perdana Menteri dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah membuktikan (sebagai satu) gandingan yang penuh keserasian dan hormat-menghormati serta persefahaman utuh memegang satu tekad iaitu memulihkan dan mengangkat semula martabat negara yang pernah dikenali sebagai ‘the Asian Tiger’.

“Usaha ini tidak mudah, tetapi ‘definitely possible’,” kata Menteri Kerja Raya itu sambil menyifatkan gandingan Anwar dan Abang Jo sebagai ‘Segulai Sejalai’.

Terdahulu Alexander menyampaikan ucapan di Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Komuniti sempena lawatan kerja sehari Perdana Menteri ke Kapit pada Ahad.

“… pada masa yang sama, memegang utuh aspek kesejahteraan rakyat yang tidak berbelah bahagi. Gandingan tersebut bukanlah gandingan materi semata-mata, tetapi turut menyentuh aspek kemanusiaan tanpa mengira latar belakang,” tambah beliau.

Sementara itu Perdana Menteri sebagai mengulas mengenai peranan Sarawak dalam Malaysia berkata, kejayaan yang dikecapi Bumi Kenyalang kini juga merupakan kejayaan buat negara.

“Sarawak pada 30, 40 tahun yang lepas merupakan antara negeri paling miskin (di Malaysia), tetapi sekarang Sarawak dianggap sebagai negeri berpotensi dan mempunyai kekuatan terutama dalam bidang tenaga.

“Kejayaan Sarawak ini merupakan kejayaan kita semua, kerana apa yang Sarawak capai boleh dinikmati oleh semua,” katanya dalam majlis ramah mesra diadakan di Dewan Suarah Kapit itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI komited pastikan warisan unik etnik Sabah dan Sarawak terus hidup

Pada acara itu Anwar mengumumkan, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberi keutamaan bagi pembinaan beberapa projek jalan termasuk bagi menghubungkan Nanga Semaram di Kanowit ke Kapit, sejauh 72 kilometer.

Related Articles

Back to top button