Semasa

NRES lancar Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0, ke arah ekonomi rendah karbon

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada melancarkan Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN 2.0) bagi membimbing peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad pada sidang media selepas merasmikan Forum Perubahan Iklim 2024: Laluan ke COP29 Baku dan pelancaran DPIN 2.) di Putrajaya pada Isnin berkata, dasar itu memberi tumpuan kepada komitmen negara serta usaha kerajaan untuk memenuhi ikrar iklim global, termasuk mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih menjelang 2050.

“DPIN 2.0 merupakan dasar utama yang menghubungkan semua pihak berkepentingan yang berkaitan dari segi tadbir urus, pembangunan rendah karbon, penyesuaian, pembiayaan iklim, dan perkongsian serta menjadi tulang belakang kepada penggubalan Akta Perubahan Iklim Malaysia yang dijangka siap awal tahun depan.

“Ia juga seiring dengan peningkatan kekerapan dan intensiti impak perubahan iklim, kita mesti mengambil pendekatan yang komprehensif untuk membina ketahanan dan kapasiti di semua peringkat, bersedia menghadapi cabaran tidak terduga yang mungkin mengancam pembangunan masa depan kita,” katanya.

Sementara itu menurut Nik Nazmi, Malaysia akan menghadiri Persidangan ke-29 Pihak-Pihak (COP29) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), di Baku, Azerbaijan pada 11-22 Nov depan.

BACA LAGI: NRES fokus aspek ESG dalam bangunkan industri NR-REE negara

Justeru Malaysia akan memberi keutamaan kepada beberapa inisiatif iklim global utama yang sejajar dengan matlamat iklim negara.

“Ini termasuk Matlamat Kuantiti Kolektif Baharu, pelaksanaan Artikel 6 Perjanjian Paris mengenai mekanisme pasaran karbon, Matlamat Global mengenai Penyesuaian dan pengoperasian Dana Kerugian dan Kerosakan.

“Kami akan terus menyokong pendekatan seimbang terhadap pembiayaan, penyesuaian, dan mekanisme kerugian serta kerosakan, dengan kerjasama serantau melalui ASEAN sebagai teraju utama,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button