Usaha basmi kemiskinan tegar akan diperhebat melalui program berkesan – Rafizi
Kerajaan MADANI komited untuk menoktahkan kemiskinan di negara ini melalui program-program yang direka dengan betul dan berkesan.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan, semua kerajaan sememangnya berhasrat membasmi kemiskinan, namun jika ia tidak dilaksana dengan pendekatan yang memberdayakan penerima dan menghasilkan satu ekosistem yang mampan, usaha tersebut tegasnya tidak akan berjaya.
“Kemampuan jabatan kerajaan semata-mata untuk menstrukturkan kembali masyarakat, terutamanya yang membabitkan pembasmian kemiskinan akan semakin dikekang terutama kekangan kewangan dan keberkesanan.
“Negara perlu memberi tumpuan kepada kumpulan di dalam masyarakat yang memainkan peranan mereka dengan sistem dasar dan ekosistem yang memberdayakan mereka untuk membantu bersama-sama dengan kerajaan membasmi kemiskinan,” katanya.
Rafizi sebelumnya hadir ke majlis perasmian Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di Putrajaya pada Isnin.
Beliau sementara itu menegaskan, selain menyalurkan bantuan tunai bagi membantu golongan sasar, penyelesaian yang lebih baik ialah melalui aktiviti ekonomi yang dapat menghasilkan pendapatan berterusan.
BACA LAGI: RMK13 bakal dibentang ke Parlimen Julai tahun depan
“Jika lihat di beberapa negara, bila ada perbincangan dengan kerajaan, kalau tengok di India, Bangladesh dan Sri Lanka, sejarah telah menunjukkan bahawa kebanyakan mereka yang paling miskin lebih suka mempunyai pekerjaan,” tambahnya.
Justeru menurut Ahli Parlimen Pandan itu, Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat diperkenal kerajaan adalah selaras dengan usaha memastikan tiada sesiapa tertinggal daripada arus pembangunan sekaligus menoktahkan kemiskinan.