Negeri

Selangor sedia jayakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13)

Selangor menyahut cabaran Menteri Ekonomi supaya negeri itu memulakan rancangan ekonomi besar sekaligus menjayakan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Kita ingin cabar diri kita, bukan hanya sekadar jaguh kampung, sebaliknya menjadi pemain utama serantau.

“Kita perlu ada cita-cita besar dari segi prestasi yang telah ditetapkan.

“Justeru kita juga perlu sedar dan memahami apakah cabaran besar yang perlu kita hadapi. Ada beberapa perkara antaranya kemampuan untuk beradaptasi dengan teknologi,” katanya Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Terdahulu beliau hadir ke program Sesi Libat Urus RMK-13 Bersama Kerajaan Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shah Alam.

Majlis anjuran Kementerian Ekonomi itu disempurnakan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, wakil rakyat, agensi Kerajaan Negeri, pemimpin masyarakat serta pemegang taruh.

Selangor merupakan negeri pertama dalam siri jelajah Sesi Libat Urus RMK-13 yang bertujuan mengumpulkan idea kreatif daripada semua golongan masyarakat sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada Julai 2025.

BACA LAGI: RMK13 bakal dibentang ke Parlimen Julai tahun depan

Sementara itu menurut Amirudin, ketidaktentuan geopolitik dunia merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi untuk terus bertahan selain isu negara menua dan perubahan mentaliti masyarakat

“Inilah perkara yang perlu dilihat, dan ini tidak akan terhasil tanpa kestabilan politik, perpaduan tanpa rasa kecurigaan. Sebaliknya dengan keyakinan akal, kemampuan ikhtisas serta merit yang melayakkan kita,” katanya.

Terdahulu, Rafizi dalam ucapannya mencabar Selangor dan negeri lain untuk memulakan rancangan ekonomi dengan impian besar sekali gus menyokong usaha kerajaan menjayakan RMK-13.

Related Articles

Back to top button