Israel serang Lubnan: Kerajaan evakuasi 15 rakyat Malaysia
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang berterusan melancarkan serangan ketenteraan melalui serangan udara dan darat ke atas Lubnan.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan menegaskan, rejim Zionis Israel secara jelas melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang mengancam keselamatan, kestabilan serta kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan.
“Malaysia bersolidariti bersama Lubnan dan masyarakat antarabangsa untuk mendesak rejim Zionis Israel melaksanakan gencatan senjata segera bagi mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih dahsyat di Lubnan,” kata Wisma Putra.
Melalui kenyataan sama, Kementerian Luar memaklumkan sedang melaksanakan proses evakuasi 15 rakyat Malaysia bersama tiga warga asing yang juga pasangan kepada rakyat Malaysia.
Proses evakuasi dengan kerjasama Kedutaan Besar di Beirut dilaksana susulan keadaan keselamatan yang semakin meruncing di negara itu.
“Sembilan rakyat Malaysia sudah meninggalkan negara itu secara sukarela manakala empat lagi memilih untuk terus kekal di Lubnan.
“Empat pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan meneruskan operasi di Lubnan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu Kementerian Pertahanan mengesahkan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang berada di Lubnan dalam keadaan selamat.
BACA LAGI: Malaysia gesa UNSC tegas, henti segera kekejaman Israel di Palestin, Lubnan
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua pasukan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) termasuk pasukan MALBATT 850-11 telah diarahkan tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik pada waktu ini.
“Mengambil kira keselamatan petugas, Markas UNIFIL telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu (bunker drill) mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal,” katanya.