Tidak perlu guna MyDigital ID untuk log masuk MyJPJ – Menteri
Penggunaan MyDigital ID untuk aplikasi MyJPJ yang sepatutnya dikuat kuasa pada 10 Oktober ini dibatalkan serta merta.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke melalui satu sidang media di Putrajaya pada petang Rabu berkata, keputusan itu susulan maklum balas orang ramai yang mendakwa langkah itu menyukarkan mereka.
“Saya nak tegaskan belum ada pengumuman rasmi daripada MOT mengenai arahan itu. Bagaimanapun, arahan itu dilihat mengelirukan orang ramai.
“Selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, saya bincang dengan pihak MyDigital ID bersetuju supaya usaha log masuk menggunakan ID tunggal itu akan dibuat secara ‘back- end’ (dalaman) menerusi sistem,” katanya sambil menegaskan orang ramai boleh menggunakan aplikasi seperti biasa.
BACA LAGI: Atasi isu kenderaan terbiar, JPJ perkenal e-Dereg
Pada Selasa, kemas kini terbaharu aplikasi MyJPJ memaparkan notis kepada pengguna untuk mendaftar akaun MyDigital ID sebelum 10 Oktober ini.
Selepas tarikh itu, pendaftaran MyDigital ID diperlukan untuk log masuk ke dalam aplikasi MyJPJ.
Susulan itu timbul kesukaran dalam kalangan pengguna aplikasi MyJPJ dan mereka mendakwa sukar mengisi butiran mereka dalam akaun MyDigital ID.
Difahamkan, sebanyak 10.5 juta akaun berdaftar dengan MyJPJ dan antara aplikasi kerajaan yang mempunyai pendaftaran pengguna paling tinggi.