Semasa

Kerajaan wujudkan Jawatankuasa Kluster Indikator Keterjaminan Makanan

Sebuah Jawatankuasa Kluster Indikator Keterjaminan Makanan Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara ditubuhkan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penubuhan jawatankuasa itu yang diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang bersidang pada Khamis bertujuan memudahcara pembangunan, pengurusan dan pemantauan data.

Selain itu, jawatankuasa turut bersetuju untuk memperkasakan industri akuakultur menerusi pembangunan kawasan Zon Industri Akuakultur (ZIA) bagi memenuhi peningkatan permintaan domestik dan menggalakkan eksport melalui naik taraf infrastruktur serta galakan pelaburan.

“Mesyuarat juga memperhalusi inisiatif untuk membangunkan industri ruminan negara melalui pemerkasaan Program Pembangunan Ruminan bagi mencapai Kadar Sara Diri (SSR) 25 peratus bagi daging lembu dan kerbau menjelang 2030.

“Selain itu, mesyuarat memutuskan untuk mengukuhkan pengurusan kerintangan antimikrob (AMR) melalui penambahbaikan polisi dan garis panduan pelepasan efluen bagi sektor pertanian, ternakan dan akuakultur serta pelaksanaan penyelidikan berterusan berhubung impak dan mitigasi bahan cemar AMR,” katanya dalam satu kenyataan.

Mesyuarat jawatankuasa itu berlangsung di Wisma Tani, Putrajaya, semalam dan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhilah Yusof.

BACA LAGI: Bantuan untuk pesawah terjejas banjir di Kedah akan dipercepatkan

Sementara itu jelas Mohamad, sebagai usaha kerajaan mendepani situasi keterjaminan makanan negara, pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS) akan menjadi asas penting memantapkan aspek keterjaminan makanan dalam berhadapan dengan persekitaran yang sentiasa berubah, tidak menentu, rumit dan samar (VUCA).
 
Justeru katanya, saranan konstruktif yang diketengahkan dalam mesyuarat tersebut akan ditambah baik sebelum diangkat untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara kelak.  

Related Articles

Back to top button