Semasa

Monsun Timur Laut: agensi berkaitan dalam mod siap siaga

Kerajaan Negeri Selangor dijadualkan untuk mengadakan latihan amal dan simulasi bencana membabitkan pelbagai agensi pada minggu hadapan.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata latihan tahunan di Pulau Meranti, Puchong bagi memastikan pengurusan komunikasi lebih tersusun dan efektif ketika berdepan bencana.

“Semalam kita sudah laksanakan mesyuarat penyelarasan bencana negeri melibatkan semua agensi terlibat termasuk pihak berkuasa untuk kemas kini dan persiapan.

“Minggu depan kita ada simulasi latihan bencana di Pulau Meranti bersama semua agensi. Di situ kita akan uji semua aset yang dimiliki untuk pastikan ia dapat digunakan dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita pada pelancaran Anugerah Rekaan Cemerlang Rekatone Antarabangsa di Kuala Lumpur pada Khamis.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut bermula pada November depan dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) METMalaysia menjangkakan hujan berterusan mungkin berlaku di negeri pantai barat sekiranya berlaku luruan monsun yang kuat atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara.

BACA LAGI: Persediaan hadapi kemungkinan banjir telah dimulakan – MB Selangor

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diletakkan dalam mod bersiap siaga untuk menghadapi Monsun Timur Laut lebih awal susulan kejadian hujan lebat serta banjir yang melanda beberapa kawasan seluruh negara baru-baru ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, terdapat sedikit perbezaan pada trend taburan hujan yang lebat pada tahun ini sehingga menyebabkan kejadian banjir di Kedah dan beberapa kawasan lain dan pihaknya terpaksa meletakkan semua anggotanya serta 8,000 anggota bomba sukarela dalam mod berjaga-jaga lebih awal.

Related Articles

Back to top button