Negeri

Tindakan terhadap GISBH akan berdasarkan fatwa ditetapkan – MB Selangor

Kerajaan Negeri Selangor akan bertindak terhadap kumpulan GISB Holdings (GISBH) berdasarkan fatwa yang bakal diputuskan dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya akan merujuk garis panduan dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang akan diperkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Ini adalah struktur (tatacara) majlis fatwa dan Majlis Agama Islam Selangor, yang dipersembah kepada Tuanku sebagai ketua (agama Islam negeri) untuk isytihar dan perkenan.

“Keputusan fatwa ini akan diumumkan kepada orang ramai dan negeri. Kita akan bertindak berdasarkan fatwa dan keputusan digariskan Jawatankuasa Fatwa,” katanya ketika ditemui pemberita pada satu program di Gombak pada Khamis.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dilapor telah membentang semua penelitian berhubung kegiatan kumpulan berkenaan pada 30 September.

Sultan Sharafuddin akan memperkenan dapatan hasil penelitian jawatankuasa tersebut terlebih dahulu sebelum ia difatwakan (diwartakan).

Sementara itu Amirudin ketika ditanya mengenai kemungkinan ada lagi siasatan ke atas mereka yang akan disoal siasat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais menjelaskan, ia adalah proses berterusan dan semua langkah-langkah lanjutan dibuat bagi menangani perkara itu secara menyeluruh.

“Tindakan itu supaya kita dapat menyelamatkan sebahagian besar anak-anak serta mereka yang lain, di samping mengekang penyebaran perkara-perkara yang difatwakan rosak atau sesat pada suatu ketika lalu.

“Saya ingin katakan, kita sentiasa belajar daripada satu situasi ke situasi dan sebagai contoh, Al-Arqam ke Rufaqa mereka bergerak dalam konteks yang sedikit berbeza tetapi masih dapat dibendung dengan langkah tertentu mereka menukar strategi.

BACA LAGI: Keputusan fatwa berkaitan GISBH disembah maklum kepada Sultan Selangor

“Ini pengajaran bahawa kita mungkin terlepas siri kedua (second curb) iaitu menangani anak-anak dan sekarang kita fokus generasi ketiga.

“Ia supaya generasi yang mungkin terdedah dengan doktrinisasi yang difatwakan tidak betul ‘dibersihkan’ pada masa depan untuk potensi penyebaran ‘Aurat Muhammadiyah’ atau apa apa perkara yang dikaitkan dengan faham Al-Arqam pada satu ketika dahulu,” katanya.

Related Articles

Back to top button