Semasa

Cadangan tambah baik program NRW 2025-2030 diluluskan Kabinet

Kabinet telah meluluskan cadangan penambahbaikan program Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan bermula 2025 hingga 2030

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan berkata, cadangan membabitkan kos RM2.525 bilion itu dipersetujui Kabinet pada 24 Julai lalu bertujuan meningkatkan pengurusan air di seluruh negara dan akan dilaksana melalui pembiayaan geran.

“Program ini merangkumi dua pendekatan membabitkan penggantian paip kritikal dan penyelesaian NRW holistik di enam negeri iaitu Pahang, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pendekatan kedua adalah bagi negeri lain seperti Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Kedah dengan kadar imbuhan balik secara prorata untuk menggalakkan penyertaan operator air,” kata PETRA melalui kenyataan disiarkan semalam.

PETRA berkata, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mengurangkan kadar NRW melalui peningkatan infrastruktur air, projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Machang di Kelantan adalah langkah penting.

Projek itu dijangka bukan sahaja menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan, tetapi juga mengurangkan kadar NRW di negeri itu serta menyokong inisiatif nasional untuk memastikan bekalan air yang lebih efisien dan terjamin.

BACA LAGI: PETRA komited perkasa tadbir urus air negara

“Dengan kelulusan peruntukan RM500 juta pada 27 September 2023, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air, sejajar dengan matlamat Program NRW Kebangsaan,” katanya.

“Kejayaan pelaksanaan LRA Machang dan Program NRW Kebangsaan dijangka memberikan impak positif yang signifikan dalam usaha meningkatkan kualiti bekalan air dan mengurangkan kadar NRW di seluruh negara,” katanya.

Related Articles

Back to top button