Semasa

Kementerian Wilayah Persekutuan nafi sewa tapak bazar Deepavali naik

Kementerian Wilayah Persekutuan menafikan dakwaan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan kadar sewaan dan tempoh operasi bagi tapak bazar Deepavali di sekitar Kuala Lumpur.

“Tempoh bazar sama seperti tahun lepas. Kadar fi lesen dan caj perkhidmatan pun sama tiada perubahan,” kata Pegawai khas menteri Wilayah Persekutuan, G Sivamalar dipetik laporan media.

Terdahulu Presiden MyPPP Loga Bala Mohan mendakwa menerima aduan daripada peniaga mengenai kenaikan kadar sewa bazar kepada RM75 sehari dan tempoh bazar dikurangkan daripada 24 hari ke 14 hari sahaja.

Susulan itu beliau menggesa supaya DBKL mempertimbangkan semula permohonan untuk menurunkan sewa tapak bazar Deepavali di sekitar Kuala Lumpur.

“Saya minta mereka (MyPPP) semak semula aduan yang mereka terima. Mungkin, mereka merujuk kepada penganjuran bazar oleh pihak swasta,” kata Sivamalar dipetik Malaysiakini.

BACA LAGI: PBT di Wilayah Persekutuan akan laksana reformasi, tingkat kecekapan

Bazar Deepavali acara tradisi jualan bazar sempena perayaan Deepavali di seluruh negara yang bakal disambut penganut Hindu pada 31 Oktober ini.

Kadar bayaran lesen sebanyak RM24 dan caj perkhidmatan (sewa) adalah RM120 untuk 24 hari.

Related Articles

Back to top button