Semasa

RM95 juta peruntukan Mitra diluluskan untuk 11 program perkasa ekonomi

Peruntukan bernilai RM95,482,075 sudah diluluskan bagi melaksana 11 program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia (PPSMI) dibawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra P Prabakaran berkata, program yang dilaksana itu meliputi Program Bantuan Lesen Lori GDL Mitra sebanyak RM1.5 juta; Program Latihan dan Penempatan Sijil Profesional Keselamatan Siber Ec-Council (RM3.4 juta).

“Program lain termasuk Program ‘Stock Market Investment and Trading’ (RM3.05 juta); dan Program ‘Malaysia-China Youth TVET Training’ (RM3 juta).

“Program ‘Malaysian Indian Skills Initiative’ membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta; ‘Malaysian Indian Community Entrepreneurship Programme’ (RM12,326,400); Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (RM10 juta); dan Program Bantuan Awal Kemasukan IPT Mitra (RM25 juta).

“Selain itu, (terdapat juga) Program Bantuan Subsidi Dialisis bernilai RM8 juta; Program Bantuan Sinar Cahaya (RM15.5 juta); dan Program Kesedaran Keselamatan Siber untuk SJKT dan Pelajar India di SMK sebanyak RM3,705,675,” jelasnya.

Prabakaran sebelumnya hadir ke Majlis Libat Urus pemohonan geran Pembangunan Sosioeknomi Masyarakat India (PPSMI) di Wisma Perwira Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam majlis sama, Prabakaran turut mengumumkan pelantikan Adun Sentosa Dr G Gunarajah sebagai Penyelaras Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Mitra Selangor dan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Jayakumaran R Muniandy selaku Penyelaras JPPK Mitra Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu Prabakaran berkata, Mitra merancang untuk melaksanakan program menggunakan baki peruntukan sebanyak RM4,517,925 supaya peruntukan kerajaan sebanyak RM100 juta pada tahun ini dapat dibelanjakan sepenuhnya.

BACA LAGI: MITRA buka permohonan geran PPSMI 2025

“Baki RM4.4 juta ini, kita ada perancangan dan kita akan buat pengumuman selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Mitra JPM dalam masa terdekat, katanya.

Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Batu memohon peningkatan peruntukan kepada Mitra ditingkatkan daripada RM100 juta kepada RM300 juta.

Dana tambahan yang dimohon itu jelasnya akan digunakan untuk memperkasa golongan B40 dan miskin tegar dalam kalangan masyarakat India.

Related Articles

Back to top button