KPM komited capai nisbah 1 guru kaunseling bagi setiap 250 pelajar
Kementerian Pendidikan (KPM) sedang dalam proses untuk mencukupkan jumlah guru kaunseling di sekolah rendah dan menengah kendaliannya di seluruh negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian itu mensasarkan nisbah seorang guru kaunseling bagi 250 murid sekolah rendah dan menengah dapat segera direalisasikan.
“Sasaran itu belum capai lagi, tetapi kita dalam proses (mencukupkannya)… kita dapat melihat pertimbangan itu sangat baik kerana pengisian untuk guru kaunseling sentiasa mendapat perhatian daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) khususnya bagi memenuhi keperluan.
“Oleh itu kita harap dapat mencapai sasaran berkenaan supaya dapat melengkapkan ekosistem khususnya persekolahan dan memberikan perkhidmatan psikososial yang baik kepada anak-anak kita… insya-Allah,” katanya.
Fadhlina berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Tekad Reformasi Pendidikan di Dewan Sri Cempaka di Kajang pada Isnin yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam perkembangan berasingan, Fadhlina menegaskan KPM tidak akan sesekali berkompromi terhadap isu-isu yang melibatkan kes buli di sekolah.
BACA LAGI: Fadhlina nyata tekad KPM tambahbaik akses pendidikan sekolah pendalaman
Mengulas pendedahan penyanyi kumpulan Spider, Rustam Mustafah yang mendedahkan anak lelakinya yang berusia 14 tahun menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama baru-baru ini Fadhlina menegaskan, tindakan tegas akan diambil kepada pembuli selepas siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Kita takkan kompromi dalam soal ini. Kita telah pun buat tindakan tegas dan bersama ambil tindakan dengan pihak autoriti,” katanya.