Malaysia perlu pupuk bakat berkemahiran tinggi penuhi industri teknologi tinggi
Malaysia memerlukan bakat-bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam industri teknologi yang sedang berkembang pesat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, kemasukan pelabur-pelabur teknologi dari syarikat gergasi dunia antaranya Oracle, Amazon, Google dan Microsoft mencerminkan keyakinan kepada dasar dan pentadbiran kerajaan Madani.
Pelaburan bernilai berbilion ringgit itu jelasnya menuntut Malaysia untuk segera membina kapasiti negara, khususnya dalam menawarkan bakat dan kemahiran yang boleh memenuhi permintaan tenaga kerja.
“Kita harus merebut peluang ini supaya kita dapat menaik taraf nilai ekonomi negara menjadi sebuah negara maju dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Lih Kang sebelumnya berucap berucap merasmikan Karnival Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Perak dan Malaysia Techlympics Peringkat Zon Utara 2024 di Dewan Jubli Perak di Kuala Kangsar pada Isnin.
Minggu lalu, Oracle mengumumkan pihaknya merancang untuk melabur lebih AS$6.5 bilion (RM27 bilion) bagi mewujudkan wilayah awan awam di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) dan awannya
Naib Presiden Eksekutif Oracle Garrett Ilg dilapor berkata Malaysia menawarkan peluang pertumbuhan unik untuk organisasi yang ingin mempercepat pengembangan masing-masing dengan teknologi digital terkini.
BACA LAGI: Pelaburan AS$6.5 bilion Oracle bukti syarikat dunia yakin pada Malaysia
Sementara itu Lih Kang berkata, kementeriannya kini menitikberatkan program pembudayaan seperti Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics bagi menyokong silibus pendidikan formal yang dijalankan Kementerian Pendidikan (KPM).
Jelasnya, kerjasama rapat ini penting untuk memupuk minat anak-anak dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus melahirkan lebih ramai jurutera, saintis, pakar teknologi, pengekod dan sebagainya.