Penjimatan dari rasionalisasi subsidi dialirkan kepada rakyat – PM Anwar
Langkah kerajaan melaksana penyesuaian tarif elektrik dan rasionalisasi subsidi diesel tidak bertujuan menambah beban kepada rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya berkata, langkah tersebut telah menjimatkan berbilion ringgit wang negara yang kini sedang disalurkan semula kepada rakyat melalui subsidi lain dan pemindahan tunai.
“Itulah yang telah kami lakukan dan akan terus lakukan, sambil kami melangkah dengan berani dalam perjalanan melakukan reformasi struktural,” katanya di majlis pelancaran Forum Megatrend Khazanah 2024, di Kuala Lumpur pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi Khazanah menegaskan bahawa reformasi struktur memerlukan keberanian dan komitmen untuk bertindak tegas terhadap penjenayah, peniaga yang tamak, serta penyalahguna kuasa tanpa takut atau memihak.
Kerajaan tegasnya komited terhadap tadbir urus, akauntabiliti, dan keadilan sosial, yang memastikan bahawa manfaat pertumbuhan diagihkan secara adil dan saksama, serta memberikan setiap rakyat Malaysia peluang untuk berjaya.
BACA LAGI: Unjuran ekonomi negara makin teruk jika penyasaran subsidi diesel tidak dilakukan
“Daripada menuruti desakan populis, tadbir urus yang bertanggungjawab menuntut kita kadangkala bertindak berani dan menghadapi cabaran secara langsung.
“Itulah yang kerajaan lakukan pada Mei lalu apabila kami memutuskan untuk melaksanakan pelan rasionalisasi subsidi diesel.
Jika kerajaan memilih untuk tidak berbuat apa-apa walaupun sedar bahawa keadaan semasa akan membawa Malaysia ke arah kebankrapan, maka itu adalah pengabaian tugas moral dalam tadbir urus yang baik dan bertanggungjawab,” katanya.