Kerajaan MADANI tingkat kesiapsiagaan hadapi Monsun Timur Laut
Kerajaan Persekutuan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat sedang mempertingkatkan kesiapsiagaan dalam mendepani banjir terutama di beberapa kawasan berisiko.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, langkah itu susulan peralihan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka berlaku lebih awal.
“MTL lazimnya akan sampai awal minggu pertama November, tetapi disebabkan perubahan cuaca, mengikut ramalan ada kemungkinan MTL akan bermula lebih awal iaitu pada minggu keempat Oktober ini.
“Kesiapsiagaan ini, kita mobilisasikan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri-negeri. Kita tidak menolak takdir Allah SWT tetapi kita berusaha untuk kurangkan risiko (terutama bencana banjir).
“Maka, kesiapsiagaan harus dilakukan antaranya Jabatan Pengairan Saliran (JPS) mengenal pasti kawasan yang berisiko terutama di kawasan banjir termenung. Ini banyak berlaku di Pantai Barat Semenanjung dari Perlis hingga Johor,” katanya.
BACA LAGI: Bantuan untuk pesawah terjejas banjir di Kedah akan dipercepatkan
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat sebelumnya hadir ke majlis Perasmian Penutup Konvensyen Rakan NADMA “Malaysia Madani, Siaga Bencana” di DoubleTree Hilton Putrajaya pada Selasa.
Sementara itu tambahnya, daripada sudut mobilisasi, setakat ini jumlah petugas membabitkan agensi penguatkuasaan adalah mencukupi dan akan digerakkan ke seluruh negara.
“Kita tak mengira negeri atau di lokasi mana tetapi mobilisasi ini dilakukan secara berstruktur, selain turut mendapat bantuan agensi bukan kerajaan (NGO),” ujarnya.