Semasa

Fahmi Fadzil gesa agensi bawah kementerian komunikasi tingkat persiapan hadapi monsun

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengarahkan agensi dibawah kementerian itu meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada Khamis beliau berkata, jumlah taburan hujan yang tinggi boleh merosakkan fasiliti rangkaian telekomunikasi.

“Bersiap sedia dengan peralatan sekiranya banjir berlaku, (harus) pantas untuk mobilisasi dan membantu, katanya.

Negara dijangka mengalami fenomena peralihan MTL pada minggu keempat bulan ini yang dijangka membawa hujan lebat serta risiko bencana seperti banjir.

Sementara itu Fahmi turut memaklumkan, sistem amaran banjir dalam menghadapi musim monsun akan ditambah baik.

Ia antaranya melalui sistem pintasan kecemasan bagi memberi amaran menerusi pesanan tetingkap timbul (pop-up alert) yang dihantar ke telefon pintar.

BACA LAGI: Kerajaan MADANI tingkat kesiapsiagaan hadapi Monsun Timur Laut

“Saya akan bincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia apa yang boleh dilakukan dengan syarikat telekomunikasi untuk membantu Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Ini untuk memaklumkan rakyat terutama di sesuatu kawasan, selain daripada amaran siren banjir, mungkin melalui telefon mereka juga boleh mendapatkan maklumat terkini. Kita akan teliti kemudahan itu,” katanya.

Fahmi memberitahu, beberapa negara telah melaksanakan sistem pemakluman bencana menerusi sistem pintasan kecemasan ke telefon pintar dan tidak lagi bergantung pada sistem pesanan ringkas (SMS), atau siren semata-mata.

Related Articles

Back to top button