Sukan

10 negeri terima geran naik taraf padang di stadium utama

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan geran berjumlah RM4.6 juta kepada 10 buah negeri bagi pelaksanaan projek menaik taraf padang di stadium utama di negeri masing-masing.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, lapan negeri iaitu Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Melaka menerima peruntukan penuh RM500,000 bagi setiap negeri bagi skop kerja menaik taraf saliran dan penukaran rumput,” katanya melalui satu sidang media di Menara KBS di Putrajaya pada Jumaat.

Beliau sementara itu menjelaskan, Perlis dan Kedah masing-masing menerima RM300,000 susulan kedua-dua megeri hanya mahu menaik taraf sistem saliran tanpa menukar rumput sedia ada.

Manakala empat lagi negeri iaitu Johor, Sabah, Pulau Pinang dan Sarawak memilih untuk tidak menerima geran berkenaan.

“Pertamanya Johor kerana stadium mereka sudah bagus. Sabah dan Pulau Pinang tidak mahu terima peruntukan (kerana) tidak perlu naik taraf saliran dan tidak mahu tukar rumput.

“Sarawak minta ditunda kerana mereka tidak boleh jalankan kerja sebelum SUKMA (Sukan Malaysia) 2024 disempurnakan,” jelasnya.

Inisiatif oleh KBS itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti permainan serta saingan liga selepas timbul keperluan akibat perubahan kalendar Liga Malaysia (Liga-M) yang menyebabkan perlawanan berlangsung semasa musim hujan.

Berdasarkan garis masa. kerja-kerja naik taraf itu perlu diselesaikan Jun tahun depan.

BACA LAGI: MARA tubuh pasukan khas tranformasi premis komersial

“KBS minta semua negeri ambil serius, kalau sudah terima duit untuk tukar rumput jangan kekal dengan rumput jenis cow grass saja, mereka kena tukar. Ada yang kita dengar tak nak tukar, nak kekal cow grass padahal telah terima duit.

“Ada juga yang menulis surat kepada kita untuk gunakan duit itu bagi tujuan naik taraf tandas, jadi perkara ini memang tidak dibenarkan.

“Kita juga akan audit untuk pastikan kalau terima RM300,000 untuk naik taraf saliran, mereka tak boleh jalankan kerja skop RM100,000 dan simpan RM200,000 untuk kegunaan lain,” katanya.

Related Articles

Back to top button