Semasa

KPKM perkenal asas kiraan baharu SSR dan PCC beras negara

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperkenalkan asas pengiraan baharu kadar sara diri (SSR) dan penggunaan per kapita (PCC) beras negara.

Melalui satu kenyataan pada Jumaat KPKM menjelaskan, pengiraan baharu itu selaras piawaian ditetapkan Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO).

Pengiraan baharu itu jelas KPKM merujuk kepada dokumen yang dikeluarkan oleh FAO iaitu Food Balance Sheets – A Handbook, 2001 dan Guidelines for the Compilation of Food Balance Sheet, 2017 dalam menentukan konsep dan definisi yang diguna pakai di dalam pengiraan SSR dan PCC beras.

“Menerusi kaedah baharu ini, KPKM telah melaraskan asas pengiraan pengeluaran padi pada tahun 2023 dengan mengambil kira jumlah padi bersih yang akan diproses kepada beras sahaja.

“Ia tidak termasuk jumlah pengeluaran padi yang dikhususkan untuk tujuan benih pada tahun sama,” kata kenyataan tersebut.

BACA LAGI: KPKM akan mulakan langkah reformasi perkhidmatan awam

Mengulas lanjut KPKM menyatakan, kaedah terbabit turut mengekalkan kadar faktor penukaran padi kepada beras yang digunakan pada ketika ini mengikut zon.

Kadar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, masing-masing pada 70 peratus, 63 peratus serta 60 peratus.

“KPKM turut memuktamadkan jumlah stok kecemasan beras bagi tahun 2023 dengan jumlah 240,233 tan metrik bagi stok dagangan dan 40,000 tan metrik bagi stokpail,” tambah kenyataan itu.

Pada masa sama, KPKM berkata, pihaknya akan terus komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kadar SSR beras antaranya melalui kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk dengan kerajaan negeri.

Related Articles

Back to top button