JAIS beri amaran tindakan tegas terhadap sekolah agama swasta langgar prinsip Islam
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana sekolah agama swasta di negeri itu yang didapati terlibat kes penderaan, gangguan seksual atau tindakan bertentangan prinsip Islam.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, tindakan yang bakal diambil termasuk menutup sekolah terbabit.
“Tidak boleh sama sekali, sistem pendidikan dan kurikulum Islam yang dilaksanakan di sekolah merosakkan prinsip manusiawi dan ihsan atas alasan membentuk sahsiah Islam kepada para pelajar.
“Guru sebagai wahana menyampaikan ilmu perlu memanfaatkan ruang pengajaran dan pembelajaran sebagai ruang bagi pelajar menjadi insan yang ikhlas dalam menerima ilmu, bersangka baik dan menghormati para guru, bukannya interaksi yang melahirkan ketakutan dan mengambil kesempatan daripada para pelajar,” katanya dalam kenyataan.
Peringatan berkenaan dikeluarkan susulan penemuan empat pelajar di sebuah tahfiz sekitar ibu kota yang mengalami kecederaan fizikal pada tubuh dipercayai akibat penderaan, selain disyaki menjadi mangsa amang seksual.
Beliau sementara itu menegaskan, Seksyen 25 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan 2001) memberi kuasa untuk pihaknya menutup sekolah terlibat, selain penamatan pendaftaran di bawah Seksyen 15 enakmen yang sama.
Seksyen 8 enakmen berkenaan juga memperuntukkan bahawa sekolah agama swasta boleh didakwa dan juga mendakwa pihak lain.
BACA LAGI: 70 kanak-kanak diselamatkan dari GISBH sudah dipulangkan kepada keluarga – Menteri
“Selain kes jenayah, ibu bapa dan penjaga boleh mendakwa serta menuntut hak anak-anak mereka jika mereka tidak diperlakukan dengan selayaknya, supaya perkara tersebut dapat dibawa ke muka pengadilan,” tambahnya.
Sementara itu beliau turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memerhati perkembangan anak-anak mereka, terutamanya melalui perubahan sikap dan tingkah laku, supaya sebarang masalah dapat dikesan di peringkat awal dan tidak menjejaskan masa depan anak-anak.