Semasa

KKM tubuh jawatankuasa khas, tangani isu ketidakhadiran calon SPM

Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan sebuah jawatankuasa dalam usaha mengurangkan jumlah ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menteri KPM Wong Kah Woh di Dewan Rakyat pada Rabu berkata, Jawatankuasa Khas Tindakan Gempur Kehadiran Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024/2025 itu merupakan pelan intervensi dengan melaksanakan pemerkasaan terhadap program sedia ada.

Selain itu jelasnya, kementerian turut melaksanakan program persediaan menghadapi peperiksaan SPM melalui inisiatif Program Minda Sihat Sekolah dan sebagainya, serta melaksanakan aktiviti berfokus seperti ziarah cakna, sesi konsultasi ibu bapa, permuafakatan Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) serta Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).

“Kerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah dalam pelaksanaan Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia yang melibatkan Program Pecutan SPM 2024 dengan program ini dijalankan secara berfokus dan melibatkan negeri,” katanya.

BACA LAGI: Fokus tangani keciciran, lebih 83,752 murid bakal terima manfaat program Anak Kita

Beliau sebelumnya menjawab soalan lisan dikemukakan seorang Ahli Parlimen berhubung usaha kementerian dalam memastikan pelajar yang tidak hadir SPM tidak terus tercicir daripada sistem pendidikan.

Sementara itu sebagai mengulas punca kira-kira 10,160 calon yang tidak menduduki peperiksaan tersebut tahun lalu Wong berkata, berdasarkan analisa KPM mendapati ia antaranya disebabkan calon telah bekerja, berhenti atau berpindah sekolah, mengalami masalah keluarga dan sakit.

Related Articles

Back to top button