Parlimen

RUU berkaitan kewarganegaraan bukti kesungguhan kerajaan lakukan reformasi

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menyifatkan usaha Kerajaan MADANI meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan mencerminkan kesungguhan politik untuk melakukan reformasi.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat pada Rabu beliau berkata, langkah selaras dengan manifesto gabungan politik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membetulkan kesalahan dan menghentikan ketidakadilan terhadap para ibu dan anak mereka selama bertahun-tahun.

“Pindaan ini suatu naskah yang holistik. Tiada ruang penolakan berdasarkan perundangan dan garis panduan sekiranya seseorang itu mencukupi syarat dan kelayakan,” katanya

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini menegaskan, tumpuan pindaan itu diberikan dalam usaha membolehkan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing mendapat kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang atau secara automatik.

Sebelum pindaan itu dilakukan, anak yang lahir di luar negara perlu melalui proses memohon mendapat kewarganegaraan secara pendaftaran.

Cadangan pindaan yang dibahaskan itu menurutnya sudah melalui proses yang panjang dan sudah dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja.

BACA LAGI: RUU pindaan kewarganegaraan sudah dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja

Sementara itu, usaha kerajaan meminda perkara itu turut mendapat sokongan dari kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) berkata pindaan itu bakal mengangkat dan memartabatkan golongan wanita khususnya wanita Malaysia yang melahirkan anak di luar negara.

“Kini dengan pindaan ini, statusnya akan dikembalikan dan akan dapat layanan adil, pindaan ini saya sokong 100 peratus,” katanya.

“Saya bersetuju dengan pindaan yang memberikan hak kewarganegaraan secara kuatkuasa undang-undang kepada anak-anak dalam kategori ini,” kata Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menurut laporan media.

Related Articles

Back to top button