Semasa

Belanjawan 2025: Peruntukan besar bukti kesungguhan kerajaan bina negara berdaya tahan.

Belanjawan 2025 dirangka dengan teliti dan terangkum dengan menyeluruh berpandukan visi Kerangka Ekonomi Madani.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM421 bilion, belanjawan dibentangkan semalam mencerminkan komitmen kukuh serta kesungguhan Kerajaan Madani dalam membina negara yang berdaya tahan.

“Tumpuan utama diberikan kepada kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi, selaras dengan hasrat untuk memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam arus kemajuan,” katanya pada sidang media selepas pembentangan belanjawan itu.

Sementara itu sebagai mengulas beberapa inisiatif terkandung dalam belanjawan tersebut, Zahid menyifatkannya akan mempercepatkan reformasi ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan serta kemakmuran rakyat secara inklusif.

“Saya ingin menzahirkan rasa terima kasih buat Perdana Menteri atas peruntukan sebanyak RM11.96 bilion kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyaksikan peningkatan sebanyak RM405.27 juta atau 3.51 peratus berbanding tahun lalu.

“Daripada jumlah ini, RM4.47 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM7.49 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Peruntukan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh agenda Desa Madani dan seterusnya memberikan manfaat kepada seluruh 8.1 juta penduduk desa,” katanya.

Ahmad Zahid sementara itu turut menyifatkan belanjawan kali ini membuktikan membuktikan komitmen tinggi kerajaan membangun sektor pertanian dan komuniti desa.

BACA LAGI: PM Anwar rakam penghargaan kepada pihak terlibat. beri cadangan bernas

Ia dapat dilihat melalui peruntukan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kepada RM2.6 bilion berbanding RM2.4 bilion pada tahun.

“Masyarakat orang asli juga terus diberi perhatian di bawah Belanjawan Madani, dengan peruntukan meningkat kepada hampir RM380 juta berbanding RM330 juta pada tahun lalu.

“Usaha ini merangkumi projek pembangunan semula ladang Orang Asli serta pelbagai inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button