Semasa

Isu berbangkit di SJK Cina, SJK Tamil akan diselesaikan – Menteri Pendidikan

Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti isu berkaitan guru dan penyelarasan kurikulum Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina atau SJK Tamil .

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata isu-isu tersebut termasuk berkaitan masalah kekurangan guru, perpindahan sekolah dan isu membabitkan guru ganti telah dibangkitkan kepadanya pada pertemuan dengan pimpinan tertinggi dua pertubuhan pendidikan bahasa Cina baru-baru ini.

Menurutnya, beliau mengambil pendirian untuk berdialog dan terus melibatkan diri agar jalan penyelesaian dalam isu-isu berbangkit akan dapat dirungkai.

“Apa yang pasti, jikapun ada pandangan yang berbeza, ia diketengahkan secara beradab dan berhemah.

BACA LAGI: 717 sekolah daif selesai proses naik taraf – KPM

“Maka, saya bertambah yakin bahawa masyarakat Malaysia semakin matang untuk merungkaikan perbezaan pandangan tanpa perlu menghasut sentimen dan melaga-lagakan hubungan kaum,” ujarnya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Difahamkan, pertemuan itu disertai Perwakilan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), diketuai Pengerusinya, Datuk Tan Yew Sing dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), yang diketuai Pengerusinya, saudara Cheah Lek Aee.

Related Articles

Back to top button