Semasa

Ketua Menteri Melaka sambut baik inisiatif dalam Belanjawan 2025

Belanjawan 2025 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat telah menunjukkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan ekonomi negara berada pada kedudukan kukuh dan stabil.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, belanjawan bersifat menyeluruh itu turut menekankan perkara yang akan memberi manfaat langsung untuk rakyat dan Negeri Melaka.

“Belanjawan 2025 turut menyediakan peruntukan untuk pembangunan TVET, bantuan pendidikan, infrastruktur kesihatan, pembangunan usahawan, mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan, kesejahteraan pesawah dan nelayan, bantuan dan pembiayaan perniagaan serta kemudahan penjaja dan peniaga kecil.

“Ini akan turut memberi manfaat kepada rakyat dan Negeri Melaka termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Melaka untuk menyediakan projek-projek bagi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Melalui kenyataan sama Ab Rauf turut merakamkan penghargaan kepada keprihatinan Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan untuk projek-projek di negeri tersebut.

Ia antaranya Pembinaan Pusingan U Bertingkat dan Direct U-Turn dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Taman Cheng Perdana, Melaka Tengah; Pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral dan Pembinaan Balai Polis baharu di Tanjung Minyak.

BACA LAGI: Usaha basmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan berjaya

Beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas pengumuman projek secara pendekatan Kerjasama Awam Swasta atau ‘Public Private Partnership’ (PPP) iaitu Pembinaan Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) bagi Jajaran Banting ke Gelang Patah.

“Pada pandangan Kerajaan Negeri, jajaran ini akan memberi manfaat kepada Negeri Melaka kerana menyediakan alternatif untuk pengguna jalan raya ke Melaka selain Lebuh Raya Utara Selatan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button