Semasa

RUU tahanan sedang digubal, dibentang di Parlimen tahun hadapan – Saifuddin

Jabatan Penjara dan Jabatan Peguam Negara kini dalam proses menggubal Rang Undang-Undang tahanan di rumah.

Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menjangkakan undang-undang baharu itu dapat dibentangkan di Parlimen tahun hadapan.

“Kita sudah ada Akta Penjara. Menerusi seksyen berkenaan, menteri boleh mengarahkan pihak penjara untuk membuat peraturan dalam penjara dan kita sudah mengguna pakai untuk tiga kategori iaitu parol, pembebasan berlesen dan perintah kehadiran wajid.

“Tambahan kepada tiga kategori terbabit adalah tahanan di rumah dan tidak membabitkan pindaan akta, sebaliknya diwujudkan RUU baharu.

“Kabinet sudah memberi kelulusan dasar dan Jabatan Penjara serta Jabatan Peguam Negara sedang menggubal RUU berkenaan sebelum dibentangkan ke Parlimen.

“Sekiranya semua berjalan lancar sebagaimana yang dirancang, RUU berkenaan akan dibentangkan di Parlimen tahun depan,” katanya ketika hadir Program Satu Pemimpin Satu Kampung Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), di Kampung Bukit Tiu, di Machang pada Sabtu.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.

BACA LAGI: KDN jamin integriti dalam proses pengeluaran pasport Malaysia

Sementara itu dalam perkembangan lain, Datuk Seri Saifuddin berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga berdepan kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negeri di pantai timur dalam tempoh terdekat.

Persediaan dibuat merangkumi latihan kepada anggota serta menyediakan aset yang diperlukan sepanjang penugasan tersebut.

Related Articles

Back to top button