Malaysia – Indonesia bersama angkat martabat rantau ini – PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen meningkat ikatan persahabat Malaysia dengan Indonesia sekaligus menjadi rakan startegik kepada republik itu di rantau ini.
Tekad itu dinyatakan Anwar melalui satu hantaran Facebook susulan pelantikan Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia ke-8.
“Saya hadir dalam majlis yang penuh bermakna dan penting ini dalam konteks tinta sejarah demokrasi Indonesia serta perkembangan politik serantau selain sebagai tanda penghormatan buat bangsa Indonesia.
“Dengan perjalanan panjang politik Bapak Prabowo Subianto, dengan segala tantangan dan mehnah (ujian) yang dilalui, saya yakin beliau akan berkhidmat sepenuh hati serta akan turut sama dengan Malaysia membangun kerukunan dan mengangkat martabat dan harkat rantau ini ke tingkat yang lebih baik,” kata Anwar.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis mengangkat sumpah Prabowo, 73, sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia pada Ahad.
Beliau antara 19 pemimpin dan ketua negara asing yang diundang ke majlis itu termasuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr, Perdana Menteri Serbia Milos Vucevic, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao.
Prabowo kini memegang jawatan sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia berdasarkan populasi, susulan kemenangan Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Feb dengan memperoleh 59 peratus undi.
Prabowo bersama Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, 37, berjaya menewaskan pencabar mereka, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, yang masing-masing meraih kira-kira 25 peratus dan 16 peratus undi.
BACA LAGI: Anwar, Probowo tekad kukuh hubungan serumpun dua negara
Sementara itu melalui hantaran sama Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa pelantikan Probowo akan membangun kerukunan antara Malaysia dan Indonesia sekaligus mengangkat martabat rantau ini.
Beliau sementara itu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Indonesia ketujuh Joko Widodo atas sumbangan dan kerjasama yang dihulurkan kepada Malaysia sepanjang menjawat jawatan itu dari 20 Oktober 2014 hingga 20 Oktober 2024.