Semasa

Tahanan di rumah hanya libatkan kesalahan tidak serius – Menteri KDN

Akta hukuman tahanan di rumah yang bakal diperkenal akan membabitkan pesalah dalam ketegori tertentu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai mengulas akta itu berkata, ia disasarkan kepada 20,000 pesalah berkelayakan yang akan menjalani proses tapisan penuh sebelum dibenar menjalani tahanan di luar penjara.

“Angkanya ada sekitar 20,000, jadi mereka ini adalah ‘first offender’ yang melakukan kesalahan yang tidak serius sebagai contoh ibu tunggal dihimpit kemiskinan curi susu kerana nak bagi anak, orang yang sakit, warga emas.

“Walaupun dia ‘first offender’ tapi jika disiplin dalam penjara teruk, dia tidak terpilih kerana akan ada proses tapisan (yang dipilih untuk tahanan di rumah),” katanya.

Saifuddin berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Kota Raja, Klang pada Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.

Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan bersesuaian iaitu rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat ditetapkan dan dipantau Pegawai Penjara.

BACA LAGI: RUU tahanan sedang digubal, dibentang di Parlimen tahun hadapan

Saifuddin melalui laporan media sebelum ini memaklumkan Kabinet sudah memberi kelulusan dasar dan Jabatan Penjara serta Jabatan Peguam Negara sedang menggubal Rang Undang-Undang berkaitan hukuman itu.

Cadangan merangka akta itu dibuat kerana isu kesesakan serius di 43 penjara seluruh negara yang menyebabkan keadaan tidak kondusif.

Beliau menjangkakan undang-undang baharu itu dapat dibentangkan di Parlimen tahun hadapan untuk dibahasakan Ahli Parlimen.

Related Articles

Back to top button