ekonomi

Berhenti tabur fitnah berhubung isu peruntukan kaum India – Ramanan

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menyelar tindakan pihak yang mempertikaikan peruntukan sebanyak RM130 juta kepada komuniti India menerusi Belanjawan 2025.

Tegasnya, tindakan seperti itu perlu dihentikan segera kerana hanya memberi pengaruh negatif kepada masyarakat India.

“Dah banyak kali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cakap ‘Saya tak nak pecah-pecahkan komuniti A saya bagi banyak macam ini, komuniti B bagi macam ini, C macam ini. Tiada.

“Apa yang Perdana Menteri buat adalah mengikut keseluruhan sebagai contoh peruntukan untuk kesihatan RM2 bilion, begitu juga untuk peruntukan untuk pendidikan dimana komuniti India juga akan dapat.

“Jadi jangan putar belit dan rendahkan apa yang telah diumumkan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pembiayaan BRIEF-i yang diadakan sempena sambutan Hari Deepavali di Kuala Lumpur pada Isnin.

Ramanan dipercayai mengulas kenyataan Naib Ketua Bersekutu BERSATU, R Sri Sanjeevan mendakwa Belanjawan 2025 dan 2024 tidak ada perbezaan ketara untuk kaum India selain tiada juga apa-apa pengumuman peruntukan lain bagi membantu sosio ekonomi masyarakat tersebut.

Mengulas lanjut Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh menegaskan bantuan terus disalurkan kerajaan kepada komuniti India dalam pelbagai cara.

“Contohnya, skim mikrousahawan yang bukan bawah Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

“BRIEF-i ini, kalau kita lihat dalam bajet 2023, tiada BRIEF-i RM50 juta. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), RM50 juta tiada dalam bajet. Jadi, kalau nak keluarkan satu kenyataan teliti dahulu sebelum keluarkan,” tambahnya.

BACA LAGI: Perkasa ekonomi komuniti India antara fokus Kerajaan Perpaduan

Untuk rekof BRIEF-i merupakan inisiatif diselia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) khusus untuk komuniti usahawan India yang menjalankan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengembangkan perniagaan.

Program pembiayaan melalui Bank Rakyat itu memperuntukkan dana keseluruhan berjumlah RM50 juta dengan RM33.17 juta sudah diluluskan sepanjang enam bulan lalu.

Related Articles

Back to top button