Semasa

35 projek bina bangunan tambahan PPKI dilulus dengan kos RM716.4 juta

Sebanyak 35 bangunan tambahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bakal dibina di seluruh negara tahun depan termasuk pembinaan dua sekolah pendidikan khas

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata pihaknya sudah mendapat kelulusan bagi pembinaan tersebut membabitkan kos keseluruhan bernilai RM716.4 juta.

Dua sekolah pendidikan khas iaitu Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Tuaran, Sabah dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Johor Bahru, Johor yang akan dibina dengan kos RM300 juta dijangka akan memanfaatkan 2,855 Murid Berkeperluan Khas (MBPK).

“Dua sekolah pendidikan khas baharu juga sedang dalam proses pembinaan seperti SMPKV Padawan, Sarawak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Bandar Enstek, Negeri Sembilan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sementara itu Wong menjelaskan, empat projek penggantian sekolah Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) akan dilaksana bagi mengatasi isu sekolah tumpang.

Sekolah terbabit membabitkan SKPK Taiping, Perak; SKPK Sibu, Sarawak; SKPK Jalan Peel, Kuala Lumpur dan SKPK Seremban, Negeri Sembilan.

“RM10 juta turut disediakan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa untuk membantu sekolah autisme swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

BACA LAGI: Belanjawan 2025 teruskan agenda ‘keadilan pendidikan’ PM Anwar

“Elaun MBPK sebanyak RM150 sebulan terus disediakan dan memberi manfaat kepada lebih 110,000 MBPK termasuk murid autisme serta melibatkan peruntukan sebanyak RM200 juta,” tambahnya.

Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2025, Wong berkata komitmen kerajaan terhadap pendidikan bagi MBPK dibuktikan menerusi kelulusan pembinaan 11 Pusat PERMATA baharu dilengkapi dengan pusat didikan kanak-kanak autistik termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Related Articles

Back to top button